02 November 2010

Festival robot di Korea Selatan


DUA robot melakukan aksi taekwondo pada pameran Dunia Robot di Ilsan, Korea Selatan. – AFP

ILSAN, Korea Selatan 1 Nov. – Lima robot penari mendapat tepukan gemuruh daripada penonton ketika membuat persembahan pada festival robot di sini, semalam.

Robot yang digelar Humanoid Dancing Crew itu dan mempunyai ketinggian 30 hingga 40 sentimeter menari mengikut rentak lagu popular Korea sambil memancarkan cahaya merah dan biru.

Sementara itu di bilik berlainan, robot yang menyerupai manusia bermain bola sepak. Pasukan yang kalah kelihatan memegang kepala mereka, manakala pasukan yang menang melompat keriangan dan bertepuk tangan di udara. Kelakuan mereka sama seperti manusia.

Sejak dilancarkan pada 2006, Dunia Robot telah menarik 120,000 pelawat dan 6,000 peserta setiap tahun untuk menunjukkan pembangunan robot yang dilihat oleh Korea Selatan sebagai masa depan pertumbuhan industri.

Tahun ini, sekurang-kurangnya 120 syarikat dan 8,000 peserta mengambil bahagian dalam acara yang berlangsung sejak 28 Oktober lalu hingga semalam ini, yang diadakan di Ilsan, utara Seoul.

“Jumlah pelawat meningkat setiap tahun. Ini adalah peluang baik kepada kami untuk mempromosikan produk kami,” kata Lee Hak-Soo, jurutera di Hanool Robotics yang membangunkan Tiro, robot yang bertindak sebagai pemandu pelancong di kediaman Presiden.

Pelajar-pelajar dari sekolah menegah teknik turut mengadakan lawatan ke festival ini.

“Apa yang pasti, robot-robot tahun ini secara teknikalnya lebih baik daripada tahun lalu. Mereka kini lebih serupa dengan manusia.

“Pelajar-pelajar saya turut menyatakan teknologi mereka hebat dan robot ini mengagumkan,” kata seorang guru dari sekolah menengah teknik mekanikal Incheon, Hyun Yun-Duk.

Festival ini turut mempamerkan perlawanan taekwondo antara robot yang menggunakan teknologi angkasa lepas dan berjaya menarik perhatian kebanyakan penonton. – AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT