02 November 2010

Merapi meletus lagi


Penduduk meninggalkan kawasan zon bahaya di Kampung Balerante, Klaten ekoran Gunung Merapi mengeluarkan gas panas dan serpihan semalam.

GUNUNG MERAPI, Pulau Jawa - Gunung Merapi di sini meletus lagi dengan mengeluarkan gas panas dan serpihan dalam letupan paling kuat dalam minggu ini.

Bagaimanapun, tidak ada sebarang kematian dilaporkan ekoran perkembangan terbaru itu.

Gunung Merapi yang merupakan salah sebuah daripada 129 gunung berapi paling aktif di Indonesia telah meragut 38 nyawa sejak ia mula meletus seminggu lalu.

Lebih 69,000 orang telah dipindahkan dari kawasan sekitar cerun gunung itu yang kini diselubungi dengan debu.

Sejumlah orang yang mendapatkan perlindungan di kem-kem milik pemerintah beberapa kilometer dari gunung itu turut melarikan diri ekoran bunyi letusan kuat semalam.

Menurut seorang pegawai yang memantau aktiviti gunung itu, Subrandrio, gunung itu turut mengeluarkan beberapa bunyi letusan.

Gunung itu telah meletus beberapa kali sejak dua abad lalu.

Pada 1994, seramai 60 orang terbunuh manakala pada 1930 puluhan penduduk sebuah kampung melecur menyebabkan 1,300 orang maut.

Seorang ahli vulkanologi pemerintah, Gede Swantika berkata, para pemantau mendapati terdapat lebih banyak gunung berapi didapati menunjukkan tanda-tanda aktiviti seismos bermula 2 September lalu.

"Kami boleh menyatakan ia amat luar biasa, kira-kira 20 (gunung berapi menunjukkan aktiviti seismos) pada masa yang sama," katanya.

Seorang ahli geologi, Brent McInnes berkata, jika terdapat 20 buah gunung berapi menunjukkan peningkatan aktiviti seismos, perhatian perlu diberikan ke atas gunung tersebut.

Dia yang merupakan profesor di Universiti Curtin, Australia berkata, peningkatan aktiviti di gunung-gunung tersebut menunjukkan kemungkinan satu penstrukturan semula plat sedang berlaku.


GAMBAR dari udara menunjukkan rumah-rumah yang diliputi debu Gunung Merapi di Yogyakarta semalam.


Sementara itu, puluhan penduduk di Desa Sangup, Kecamatan Musuk, Boyolali, Jateng, pengsan kerana terhidu bau belerang akibat letusan Gunung Merapi semalam pada waktu pagi.

Menurut akhbar Kompas.com semalam, mangsa-mangsa itu dirawat di Pos Klinik Desa Karanganyar.

Menurut seorang penduduk, Yulianto, letusan itu menyebabkan bau belerang menjadi kuat manakala udara menjadi panas sehingga menyebabkan penduduk panik dan menyelamatkan diri ke tempat yang selamat. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT