28 Disember 2010

Abramovich beli bangunan pangsapuri RM717 juta


ROMAN ABRAMOVICH (kanan) dan kekasihnya Dasha Zhukova menyaksikan satu perlawanan bola sepak di Stadium Bloomfield, Tel Aviv, Israel pada 31 Januari 2008.

LONDON - Bilionair Rusia dan pemilik kelab bola sepak Chelsea, Roman Abramovich membeli sebuah bangunan pangsapuri mewah di Britain yang dianggarkan bernilai sekitar £150 juta (RM717 juta), lapor sebuah akhbar semalam.

Terletak di Lowndes Square di sini, kediaman itu mempunyai keluasan 2,787 meter persegi dengan lapan bilik tidur, tiga tingkat bawah tanah, sebuah kolam renang, sebuah panggung wayang mini, sauna serta beberapa flat untuk stafnya.

Ia memberi banyak keselesaan kepada Abramovich, 44, teman wanitanya, Dasha Zhukova, 29, dan seorang anak lelaki mereka Aaron yang berumur setahun.

Rumah tersebut bakal menjadi lambang kekayaan dan cita rasa mewah Abramovich yang memiliki beberapa belas kediaman dan merupakan orang ke-15 terkaya di dunia dengan anggaran kekayaan mencecah £14 bilion (RM66.9 bilion).

"Nampaknya, kediaman itu akan dihiasi seperti sebuah istana. Beliau mahu hiasan dalaman yang berprestij dengan dekorasi tudor era Victoria," kata satu sumber.

Menurutnya, kertas cadangan bagi pengubahsuaian kediaman tersebut telah diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan.

Bangunan tersebut pada asalnya merupakan rumah bandar berkembar yang dipisahkan menjadi sembilan apartmen mewah pada 1998. - Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT