03 Disember 2010

Proton perkenalkan 'kereta pahlawan Melayu'


Seorang model memperagakan kereta konsep menggunakan nama 'Tuah' di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 di PWTC. - AFP

KUALA LUMPUR 2 Dis. - Proton Holding Bhd., (Proton) hari ini memperkenalkan lima buah kereta konsep bercirikan masa depan di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 (KLIMS 2010) di sini.

Kesemua kereta konsep itu yang diberi nama sempena lima pahlawan Melayu Melaka iaitu Tuah, Jebat, Kasturi, Lekir dan Lekiu dilancarkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.

Tuah merupakan kereta konsep sedan, Jebat kereta pameran berasaskan model Inspira, Kasturi adalah kereta pameran berasaskan model Saga, Lekir berasaskan model kereta sports manakala Lekiu model 'crossover'.

Turut hadir Penasihat Proton Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Pengarah Urusan Kumpulan Proton Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

Proton yang menjadi pempamer terbesar di KLIMS ini dengan keluasan tapak pameran 1,500 meter persegi turut menampilkan beberapa buah model sedia ada serta Proton R3 baharu.

Turut membuat penampilan sulung di KLIMS ialah model terbaru Lotus Esprit yang diperkenalkan di Pameran Motor Paris baru-baru ini.

"Penampilan Proton di KLIMS ini bukan hanya sebagai menyambut ulang tahun ke-25 di dalam industri automotif tetapi juga membuktikan keupayaannya dengan mempamerkan model-model masa hadapan yang unik dan berani," katanya.

Menurut Syed Zainal, langkah memperkenalkan lima model kereta konsep ini juga bertujuan membuktikan kewibawaan kakitangan Proton yang berusaha menjadikan jenama tersebut setanding dengan jenama antarabangsa.

Katanya, Proton berbangga dengan penyertaannya di KLIMS kerana dapat berkongsi dengan rakyat Malaysia tentang kemahiran teknikal serta pemahaman dan pembangunan sumber manusia.

Melalui model-model konsep ini, sedikit sebanyak ia akan mencerminkan model-model baharu akan datang yang bakal diperkenalkan oleh Proton untuk peminat kereta di dalam dan luar negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT