03 Disember 2010

Wanita hidap diabetes rayu kerusi roda


SAWAI Hanapiah melihat kaki isterinya, Habshah Awang yang kudung selepas dipotong akibat penyakit kencing manis di rumah mereka di Kampung Baling Estate, Kuala Ketil, kelmarin. - BERNAMA

BALING 2 Dis. - Seorang wanita kurang upaya (OKU), Habshah Awang merayu mana-mana pihak yang bersimpati untuk menyumbangkan kerusi roda bagi membolehkannya bergerak dengan lebih mudah.

Habshah, 58, yang kehilangan kaki kiri akibat terpaksa dipotong kerana menghidap diabetes sejak enam bulan lalu, hanya berupaya mengensot untuk bergerak kerana tidak mampu membeli kerusi roda.

Ada beberapa pihak tampil dan berjanji untuk memberinya kerusi roda namun sehingga kini penantiannya sia-sia.

"Sebelum ini saya bekerja sebagai buruh kilang kayu getah selama 16 tahun, tidak jauh dari rumah dengan pendapatan secara gaji hari. Pendapatan tak seberapa sebab bergantung kepada keperluan bahan kayu yang diperlukan kilang itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baling Estate, Kuala Ketil di sini.

Selain Habshah, suaminya Sawai Hanapiah, 60, anak-anaknya Shahrul Nizam Abdullah, 22, dan Mahwal Abdullah, 20, hasil daripada perkahwinan pertamanya turut bekerja di kilang sama.

Berikutan kehilangan upaya untuk bergerak, kini anak perempuannya Nurul Nabila Sawai, 15, terpaksa berhenti sekolah kerana menjaganya setiap hari.

Kehidupan Habshah sekeluarga semakin terhimpit apabila pemilik rumah yang didudukinya sekarang meminta keluarganya mengosongkan kediaman terbabit secepat mungkin.

Menurut Sawai, rumah yang mereka duduki adalah milik seorang peniaga Cina yang bersimpati dengan nasib mereka tetapi kini dia ingin mengambilnya semula atas faktor tertentu.

"Saya amat malu dengan pemilik rumah ini, tapi kalau kami berpindah di mana kami nak tinggal?" katanya.

Sawai berkata, dia telah berusaha mendapatkan sebuah rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), tetapi gagal kerana tidak mendapat sokongan daripada pihak berkenaan.

"Saya kesal dan kecewa setelah melihat borang permohonan saya tidak disokong pihak tertentu sewaktu saya menyemaknya di Pejabat KEDA Baling baru-baru ini," katanya.

Sawai berharap pihak KEDA sedia mempertimbangkan permohonannya kerana dia memiliki sebidang tanah yang sesuai untuk dibina rumah. - BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT