DUKE 690R dijual dengan harga RM48,915.
KTM Malaysia, pengedar motosikal Kraftfahrzeuge Trunkenpolz Mattighofen atau lebih popular dengan nama KTM di negara ini, akan melancarkan model berkuasa tinggi Duke 690 dan Duke 690R pemasangan tempatan (CKD) susulan peningkatan populariti jenama motosikal Austria itu di kalangan peminat motosikal tempatan.
Sumber industri berkata, motosikal berkuasa tinggi dalam kategori Supermoto atau gabungan antara model motosikal jalan raya dan ‘motorcross’ itu akan dijual pada harga atas jalan RM44,800 seunit bagi Duke 690 dan RM48,915 bagi Duke 690R.
“Supermoto berkuasa tinggi kini semakin mendapat tempat di kalangan peminat motosikal di negara ini, sekali gus membuka peluang kepada KTM Malaysia untuk mengembangkan lagi operasinya menerusi pengenalan beberapa model CBU.
“Buat permulaan model CKD Duke 690 dan Duke 690R diperkenalkan esok, sebelum model Duke 200 pada harga antara RM15,000 hingga RM18,000 seunit dijangka dilancarkan menjelang hujung tahun ini atau awal tahun depan,” katanya ketika dihubungi kelmarin.
Tinjauan Berita Harian di sebuah ejen jualan terlarisnya iaitu Welly World Cycle Sdn Bhd di Sungai Buloh, Selangor, mendapati tempahan bagi kedua model itu sudah pun di buka sejak sebulan lalu.
Bayaran muka yang dikenakan adalah RM15,100 seunit bagi Duke 690 dan RM16,415 seunit bagi Duke 690R dengan kadar faedah pinjaman 4.8 peratus.
Seorang jurujual syarikat berkenaan berkata, jumlah tempahan setakat ini amat memberangsangkan memandangkan populariti penyertaan KTM dalam Moto GP, motorcross serta rali terkenal seperti Paris-Dakar.
Mengenai kegusaran pengguna berhubung kesukaran mendapatkan alat ganti khususnya motosikal keluaran Eropah di negara ini, katanya, perkara itu kini bukan lagi menjadi masalah utama khususnya bagi motosikal KTM.
“Selain ejen jualan di seluruh negara, KTM juga kini memiliki pusat servis dan alat ganti di beberapa bandar utama di Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Terengganu dan Sarawak.
“Alat ganti KTM mudah didapati susulan sambutan memberangsangkan motosikal itu oleh pengguna di negara ini sejak 10 tahun lalu dan harganya juga amat berpatutan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan