|
|
Bermula dengan pengaruh drama bersiri dari negara yang cukup terkenal dengan makanan tradisi kimchi itu, kini rebakan muzik perlahan mahupun rancak ala techno dari negara itu seakan menjadi ‘kegilaan’ remaja tempatan.
Konsert yang julung kali diadakan iaitu DiGi Live K-pop Party 2011 yang berlangsung di Stadium Negara baru-baru ini berjaya menghimpunkan tiga artis Korea di atas pentas yang sama.
Mereka ialah kumpulan muzik yang semakin mendapat perhatian ramai iaitu Beast, 4Minute dan penyanyi solo, G.Na.
Konsert tersebut dibawakan oleh DiGi Telecommunications Sdn. Bhd. (DiGi) dengan kerjasama Universal Music Malaysia.
Biarpun kurang memperoleh publisiti mahupun terpampang mana-mana kisah mereka di media cetak, ketiga-tiga artis tersebut bagaikan sudah cukup popular di kalangan peminat setia mereka.
Kesahihan ini dapat dilihat menerusi konsert tersebut di mana lebih 2,500 penonton tidak kira jantina dan peringkat usia hadir menyaksikannya.
Mengakui gementar, ini merupakan persembahan pertama bagi kumpulan 4Minute yang dianggotai oleh lima orang wanita cantik lagi seksi serta penyanyi yang selesa berimej rambut panjang, G.Na atau nama sebenarnya Gina Choi.
Ini berbeza dengan kumpulan Beast yang dianggotai oleh Yoon DuJun, Jang Hyun Seung, Yong Jun Hyung, Yang Yo Seap, Lee Ki Wang dan Sohn Dong Woon apabila ini merupakan persembahan kedua mereka di negara ini.
Kali pertama Beast tampil menghiburkan peminat di negara ini ialah pada 26 Jun tahun lalu iaitu pada Beast Shock Of The New Era di KL Live, Kuala Lumpur.
Pada sidang akhbar yang berlangsung di Hotel Hilton, Kuala Lumpur iaitu tujuh jam sebelum berlangsungnya konsert tersebut, G.Na memberitahu dia sebelum ini banyak mendengar tentang Malaysia.
“Saya dimaklumkan bahawa peminat muzik Korea ramai di Malaysia dan kedatangan saya ke negara ini tentunya memberi pengalaman terbaik. Sejujurnya, saya sangat gementar.
“Melihat peminat menjerit memanggil nama saya membuktikan sokongan mereka kepada saya dan ini secara tidak langsung memberi motivasi kepada diri saya sendiri,” kata G.Na yang mengakui tidak sihat kerana perubahan cuaca.
G.Na pada konsert tersebut tampil membuka tirai persembahan dengan gaya ringkas berseluar jeans dan kemeja-T dilengkapi jaket menyanyikan tiga buah lagu hitnya iaitu I Will Get Lost, You Go Your Way, Take A Bow dan Supa Solo.
Menyorot persembahan G.Na pada malam tersebut, dia memenuhi masa selama 20 minit dengan nyanyian dan tarian yang memukau biarpun terpaksa berulang kali minum air kerana tidak sihat.
Gagal mengawal perasaan gugup barangkali sedikit mengganggu fokus G.Na pada malam tersebut kerana terlupa lirik ketika menyampaikan lagu Take A Bow.
Bagaimanapun, sikap jujur dengan penonton yang ditunjukkan oleh G.Na harus dipuji apabila dia segera memohon maaf kepada penonton kerana gagal mengingati lirik lagu tersebut.
Kumpulan lima wanita, 4Minute tampil dengan gaya ringkas dan berseluar pendek menyanyikan lima buah lagu termasuk Huh, I My Me Mine, Highlight, Music dan Hot Issues.
Menampilkan persembahan yang cukup menarik, 4Minute ternyata bijak menggunakan ruang pentas di kiri dan kanan menandakan ada interaksi dengan penonton di sebelah kanan dan kiri selain mereka yang berada di hadapan pentas.
“Malaysia bagus!” Itu kata-kata yang terlontar daripada mulut kelima-lima gadis jelita itu sebaik tampil di pentas ketika sesi sidang akhbar berlangsung.
Biarpun ini kali pertama mereka melangkahkan kaki ke negara ini, seboleh mungkin mereka cuba membiasakan diri dengan cuaca panas berbanding cuaca sejuk bersalji di negara mereka kini.
Tidak seperti G.Na yang gementar untuk melakukan persembahan.
4Minute memberitahu, mereka telah membuat persediaan dari segi nyanyian dan tarian khas untuk peminat mereka di negara ini.
Mereka dianggotai oleh Hyu Nah, Ji Hyun, Ga Yoon, Ji Yoon dan Soh Yeon.
“Kami suka pemandangan dan alam semulajadi serta peminat-peminat yang ada di sini. Harapan kami pada masa akan datang ada lebih banyak aktiviti di Malaysia,” kata salah seorang anggota 4Minute.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan