JAKARTA 13 Jan. - Seorang lelaki homoseks Indonesia mengaku meliwat hampir 100 remaja sejenis sejak berusia 13 tahun.
Lelaki berusia 34 tahun itu yang hanya dikenali sebagai Sartono, pada awalnya membuat pengakuan, dia pernah mencabul dan menjual 39 remaja lelaki.
"Dia mengaku melakukan seks songsang sejak berusia 13 tahun. Selain meliwat, lelaki itu juga melakukan kekerasan fizikal dan mental ke atas mangsa-mangsanya," kata Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kepulauan Seribu, Reynold EP Hutagalung seperti yang dilaporkan akhbar Kompas, hari ini.
Polis daerah Kepulauan Seribu menangkap Sartono di Stesen Kota, Jakarta Barat pada 9 Januari lalu berdasarkan laporan yang dibuat oleh keluarga seorang daripada mangsa Sartono yang bekerja sebagai penjual alat permainan kanak-kanak.
Menurut Reynold, mangsa yang pernah menjadi pemuas nafsu Sartono itu berusia antara 14 hingga 17 tahun.
Berdasarkan laporan polis juga, butiran jenayah yang dilakukan Sartono sebanyak 42 kali sebelum 2008 dan antara 2008 hingga 2010 pula seramai 54 orang.
Sebilangan besar daripada remaja yang menjadi mangsa pencabulan Sartono merupakan anak jalanan di sekitar stesen kereta api Cikampek, Purwakarta, Bandung, Serang (Banten) dan Kampung Bandan (Jakarta Utara).
Akibat kesempitan wang, Sartono juga pernah menjual mangsa yang dicabulnya antara Rp25,000 (RM8.45) sehingga Rp50,000 (RM17) setiap seorang kepada lelaki homoseksual.
Modus operandi Sartono ialah dengan menawarkan hadiah telefon bimbit kepada mangsanya.
Seandainya mangsa bersedia, dia akan mengajak mereka bersiar-siar dan seterusnya melakukan pencabulan dan menjual mangsa-mangsa itu di beberapa daerah.
Pihak berkuasa juga telah mengambil kenyataan daripada beberapa saksi selain menyita barang bukti seperti tiga unit telefon bimbit milik mangsa.
Siasatan polis juga mendapati, berdasarkan kecenderungan Sartono, dia pernah menjadi mangsa pencabulan di zaman kanak-kanak.
Sartono yang sudah berkahwin dan memiliki empat orang cahaya mata akan dihadapkan ke mahkamah dan diadili di bawah akta Perlindungan Anak-Anak. - Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan