14 Januari 2011

Proton taja 160 buah kereta untuk LTdL 2011


Mohamad Shukor Ibrahim (kiri) dan Mohamed Salleh mempamerkan tajaan jersi biru dan kereta Proton untuk perlumbaan Le Tour de Langkawi 2011 di Shah Alam, semalam. - UTUSAN/Saharuddin Abdullah

SHAH ALAM - Proton Holdings Berhad terus menjadi penaja kenderaan rasmi bagi perlumbaan berbasikal berprestij di Asia, Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011 dengan menyumbangkan sebanyak 160 unit kenderaan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamad Shukor Ibrahim sebagai salah satu penaja utama perlumbaan tersebut sejak edisi pertama pada 1996 mereka telah diberi penghormatan untuk menyediakan salah satu jersi khas (jersi biru-Raja Pecut) yang bakal direbut oleh pelumba pada perlumbaan tersebut.

"Kami amat berbangga dapat bekerjasama dalam acara sukan besar dianjurkan di dalam negara ini, situasi ini juga adalah menang-menang di mana kami memberi penajaan di samping itu dapat mempromosikan jenama proton di mata dunia," katanya pada sidang akhbar di Pusat Kecemerlangan Proton, semalam.

Jelasnya, selain menyumbang kenderaan bagi menjayakan perlumbaan ini, Proton juga turut membekalkan 50 petugas mereka yang memiliki pelbagai aspek kemahiran termasuk mekanik dan pegawai penganjur.

"Saya amat berharap perlumbaan untuk edisi ke-16 ini akan berlangsung dengan lebih menarik tambahan pula ia adalah pembukaan bagi kalendar sukan negara untuk tahun 2011. Kehadiran kami diharap dapat melancarkan lagi perlumbaan ini," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LTdL 2011, Mohamed Salleh berkata, sumbangan Proton amat besar maknanya, selain menjadi penaja rasmi kenderaan perlumbaan ia juga dapat memupuk semangat kesetiaan dan kekitaan.

"Saya berharap keadaan seperti ini dapat diteruskan pada edisi yang akan datang, peluang seperti ini bukannya mudah untuk diperolehi, oleh itu kami telah membuat keputusan untuk menjadikan sesi pengenalan pelumba dan pasukan nanti di Pulau Langkawi pada 22 Januari juga adalah hari khas bagi mengenangkan jasa Proton.

"Selain itu kami juga telah membuat keputusan bahawa jersi untuk Raja Pecut bagi LTdL 2011 ini adalah berwarna biru dan berlatar belakangkan Proton. Ini adalah satu penghormatan khas kepada Proton selepas 16 tahun bersama LTdL," katanya.

Proton bakal menyumbangkan pelbagai jenis kereta keluarannya yang akan digunakan untuk pegawai perlumbaan, pengurus pasukan, ahli jawatankuasa penganjuran dan juga media.

Perlumbaan LTdL akan bermula Ahad minggu depan melibatkan 10 peringkat perlumbaan termasuk di Pulau Langkawi dan pendakian berprofil tinggi dua kali berturut-turut ke Cameron Highlands dan Genting Highlands.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT