11 Julai 2012

QPR sedia cabar kuasa EPL

PARK Ji-Sung Park menunjukkan jersi kelab barunya, QPR bersama Tony Fernandes (kanan) dan Mark Hughes selepas sidang akhbar mengumumkan penyertaan bekas pemain Manchester United itu ke Loftus Road di London, semalam. - AP

LONDON - Pembelian beberapa pemain termasuk yang terbaru bekas bintang Manchester United, Park Ji-Sung sudah cukup membayangkan cita-cita besar Queens Park Rangers (QPR) untuk memahat kukuh nama dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) menjelang musim baru Ogos ini.

Sekalipun pengerusinya, Tan Sri Tony Fernandes lebih selesa bersikap merendah diri apabila menyatakan beliau tidak berhajat meletakkan sebarang sasaran untuk diraih QPR bagi musim 2012/13, tetapi kerancakan pembelian pemain baru yang dilakukan kelab itu menunjukkan keseriusan mereka untuk bersaing.

Malah, kelab itu juga dalam perancangan untuk meninggalkan stadium lama di Loftus Road bagi membina sebuah stadium baru yang merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang QPR.

Fernandes ketika ditemui media Malaysia di ibu kota England itu berkata, apa yang sedang diusahakannya bersama-sama pengurus Mark Hughes merupakan perancangan jangka panjang.

"Secara jujurnya saya tidak pula meletakkan sebarang sasaran yang perlu dilakar QPR dalam tempoh jangka pendek. Saya lebih senang untuk menyaksikan peningkatan kelab ini selangkah demi selangkah dan seterusnya menjadi sebuah kelab yang kukuh di liga perdana pada satu hari nanti," katanya.

Selain Ji-Sung, QPR turut membawa masuk bekas penjaga gol West Ham, Robert Green, penyerang Fulham, Andrew Johnson, Ryan Nelsen dari Tottenham Hotspur, Samba Diakite (Nancy) dan pemain pinjaman dari Manchester United, Fabio Da Silva.

Menurut Fernandes, beliau mahu QPR mencipta nama di pentas dunia secara perlahan-lahan seperti mana yang dilakukan oleh syarikat penerbangannya, Air Asia.

"Saya masih ingat dahulu seorang wartawan Utusan (Malaysia) pernah bertanya berapa lama saya mampu bertahan bersama Air Asia, tetapi nampaknya sehingga kini saya masih dengan syarikat penerbangan itu.

"Jadi begitu juga halnya saya dengan QPR, kalau boleh saya mahu melihat kelab ini berkembang maju dan muncul sebagai kelab yang disegani satu hari kelak," tegasnya.

Mengulas mengenai perlawanan pembukaan musim baru menentang Swansea, beliau berharap skuad Hughes itu tidak mengulangi kesilapan musim lepas apabila dibelasah 4-0 oleh Bolton dalam perlawanan pertama EPL.

Ditanya sama ada kehadiran Ji-Sung menjadikan QPR sebagai sebuah skuad lengkap, Fernandes memberitahu, penyertaan pemain kebangsaan Korea Selatan itu bukan bererti QPR akan menamatkan pemburuan untuk terus bersaing dalam pasaran perpindahan pemain.

"Kita akan cuba mendapatkan tiga atau empat lagi pemain baru dan saya menyerahkan sepenuhnya kepada Mark (Hughes) yang bekerja keras sehingga sanggup mengelilingi dunia bagi mendapatkan pemain-pemain yang berkualiti," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT