LONDON - Pemilik firma skuter futuristik Segway, Jimi Heselden meninggal dunia selepas kenderaan beroda dua yang dinaikinya itu terjatuh dari sebuah gaung ke dalam sungai, kata polis semalam.
Heselden, 62, merupakan seorang jutawan warga Britain.
Seorang jurucakap polis Yorkshire Barat memberitahu, mayatnya ditemui di dalam Sungai Wharfe berhampiran kediamannya di bandar Boston Spa, utara England kelmarin.
"Sebuah kenderaan Segway ditemui di tempat kejadian," kata jurucakap berkenaan yang turut menyatakan polis dihantar ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima laporan bahawa seorang lelaki terjatuh dari sebuah gaung.
"Kemalangan itu dipercayai bukan akibat perbuatan yang mencurigakan," jelasnya.
Heselden mengetuai sepasukan pelabur Britain yang membeli Segway Inc yang beribu pejabat di Amerika Syarikat (AS) pada Disember tahun lalu. Firma berkenaan mengeluarkan dan mengedar skuter itu.
Dijana dengan kuasa motor elektrik, skuter tersebut merupakan sebuah pengangkutan peribadi dan memiliki kelajuan maksimum 20 kilometer sejam.
Penunggang skuter itu boleh menggerakkannya ke kanan atau ke kiri dan ia bolah dicas semula dengan menggunakan soket elektrik di rumah.
Sementara itu, beberapa laporan menyatakan Heselden meninggal dunia selepas seminggu dia menjadi antara dermawan paling utama di Britain dengan menyumbang £10 juta (RM48.9 juta) kepada sebuah badan amal.
Sepanjang hayatnya, Heselden yang memiliki syarikat HESCO Bastion, telah menghulurkan derma berjumlah £23 juta (RM112.6 juta).
Dia memiliki kekayaan mencecah £166 juta (RM814.14 juta) dan berada pada kedudukan ke-395 senarai Manusia Terkaya Sunday Times dengan mengatasi Simon Cowell iaitu pengasas program pencarian bakat nyanyian, X Factor. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan