27 September 2010

Kapsul penyelamat pelombong Chile


SEORANG petugas menguji kapsul yang akan diguna sebagai sebahagian daripada operasi menyelamat pelombong yang terperangkap di dalam lombong emas dan tembaga San Jose, dekat Copiapo, kira-kira 725 km ke utara Santiago, Chile, kelmarin. - REUTERS

SAN JOSE, Chile 26 Sept. - Satu daripada tiga kapsul penyelamat yang dibina khas untuk mengeluarkan 33 pelombong yang terperangkap sejak awal bulan lalu, tiba di lombong ini semalam.

Dua peralatan sokongan menyelamat yang dibina di pelabuhan kapal Chila pula dijangka dihantar ke kawasan lombong emas dan tembaga San Jose pada minggu depan.

Kapsul yang dapat memuatkan seorang lelaki dewasa itu akan digunakan untuk menarik keluar pelombong seorang demi seorang sebaik lubang yang sedang digerudi tiba di lokasi mereka terperangkap di bawah tanah, kemungkinan awal bulan depan atau lebih awal dari itu sekiranya semua berjalan lancar.

Menteri Perlombongan, Laurence Golborne buat kali pertama menunjukkan kapsul itu kepada anggota keluarga pelombong yang terperangkap semalam.

Golborne dan beberapa anggota keluarga pelombong itu mencuba sendiri kapsul tersebut, diperbuat dari tiub keluli dengan jaring besi dan seberat 420 kilogram.

Kapsul itu mempunyai ketinggian tiga meter di bahagian luar. Bahagian dalam pula setinggi 1.9 meter dengan lebar 53 sentimeter.

Bahagian bawah kapsul menyimpan tiga tangki udara mampat terdiri dari 40 peratus oksigen dan 60 peratus nitrogen. Menteri Kesihatan Jaime Manalich menyatakan ia cukup untuk pernafasan selama 90 minit, masa yang banyak berbanding 15 hingga 20 minit yang diperlukan untuk menarik keluar setiap pelombong.

Sambungan mikrofon membolehkan pelombong di dalam kapsul berinteraksi dengan pasukan penyelamat semasa ditarik keluar, kata Manalich lagi.

Tambahnya, jika berlaku keadaan cemas seperti kapsul tersekat di dalam lubang, bahagian bawah kapsul boleh dibuka supaya pelombong dapat turun semula ke bawah dengan menuruni kabel. - AP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT