14 September 2010

Kuman Di Tangan & Dapur

Kebersihan tangan amat penting kerana tangan boleh merebakkan ribuan kuman ke dalam makanan dan membawa penyakit.

Sebab itu, adalah penting kita menjaga kebersihan tangan dan dapur; membasuhnya dengan air, sabun serta mengeringkannya. Jadikannya satu tabiat yang sihat. Ingat, pastikan tangan bersih dan dikeringkan:

1. Sebelum menyediakan makanan.
2. Selepas mengendalikan makanan segar, terutamanya daging.
3. Selepas ke tandas.

Di dapur, jangan lupa bersihkan tempat anda melakukan kerja-kerja penyediaan makanan, papan pemotong dan peralatan masakan. Perhatian lebih harus diberikan jika anda menyentuh daging mentah. Cuci sebersih-bersihnya tangan dan peralatan yang digunakan.

Satu lagi tempat yang menjadi tempat pembiakan kuman di dapur ialah kain pengelap, kain atau span pencuci pinggan. Walaupun kain-kain ini nampak bersih tetapi ia adalah tempat tumpuan kuman, terutamanya jika lembab. Jadi pastikan kain dan span yang digunakan di dapur bersih dengan membersihkannya dengan sabun serta dikeringkan.

Cuaca negara kita yang panas dan lembab menyumbang kepada pembiakan kuman. Sebab itu, jangan biarkan makanan terdedah lama, melebihi empat jam. Jika perlu membawa makanan keluar, gunakan bag atau kotak sejuk.

Beringatlah apabila membawa makanan keluar. Amalan yang perlu diberi perhatian ialah membawa makanan di dalam kereta tanpa dimasukkan dalam bekas sejuk. Di luar peti sejuk, 10 kuman boleh membiak kepada 1000 dalam tempoh 6 jam!

Malah jika tidak dikendalikan dengan betul, makanan yang disimpan di dalam peti sejuk juga boleh diancam kuman melalui jangkitan bersilang. Sebab itu, anda perlu:

1. Menyimpan daging berasingan daripada makanan yang sedia dimakan.

2. Tidak membenarkan air dari daging menitis ke makanan lain. Simpan di dalam bekas bertutup.

3. Pastikan makanan tidak disimpan lama dalam peti sejuk. Buangkan makanan yang telah tamat tempoh.

4. Sentiasa pastikan suhu peti sejuk adalah antara 0 darjah Celsius dan 5 darjah Celsius.


Perhatian khusus harus diberikan apabila mengendalikan daging. Pastikan airnya tidak menitis merata tempat dan daging dimasak dengan sempurna.

Apapun, kuman boleh dibunuh melalui memasak. Anda cuma perlu memastikan makanan yang dimasak benar-benar panas sehingga keluar wap daripadanya.

Perhatian khusus harus diberikan apabila memasak daging, ayam, burger atau sosej. Bahagian dalamnya perlu benar-benar masak dan segala kumannya mati. Perhatian sama harus diberikan apabila anda memanaskan makanan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT