14 September 2010

Bekalkan Makanan Sihat


Adakah bekalan makanan di rumah, sihat untuk anak-anak anda? Anak-anak yang masih kecil lazimnya makan di rumah. Mereka tidak pandai lagi mendapatkan makanan di luar seperti membeli di kedai atau ke restoran.

Sebab itu, adalah penting anda mempunyai bekalan makanan di rumah. Sungguhpun begitu, adalah lebih penting anda memastikan makanan yang terdapat di rumah adalah baik dan sihat untuk mereka nikmati; sama ada untuk sarapan, makan tengahari, minum petang, makan malam mahupun sebagai snek.

Berikut adalah beberapa garis panduan yang boleh diikuti apabila menyimpan bekalan makanan di rumah untuk anak-anak anda:

1. Pastikan di rumah sentiasa ada buah-buahan dan sayur-sayuran untuk dimakan anak-anak, sekurang-kurang lima hidangan.

2. Gula-gula, coklat dan snek-snek lain memang digemari kanak-kanak. Tetapi adakah ia baik untuk kesihatan mereka? Bekalkan anak-anak dengan snek yang lebih baik, contohnya, yogurt rendah lemak, biskut bijirin penuh, keju atau kekacang yang mengandungi banyak protein.


3. Jika menyediakan makanan berdaging, pastikan daging yang digunakan tidak banyak lemak. Anda juga boleh membekalkan sumber-sumber protein lain, selain daging seperti ikan, telur dan kekacang.

4. Sekiranya anda menyimpan roti di rumah untuk anak-anak makan, belilah roti atau ban yang diperbuat daripada bijirin penuh atau bijirin-bijirin lain. Ini untuk memastikan anak-anak mendapat bekalan fiber yang baik.

5. Apabila menyediakan bekalan makanan untuk anak, janganlah ambil mudah. Anda juga perlu ingat bahawa teknik memasak juga mempunyai kaitan dalam menentukan tahap kesihatan anak-anak nanti. Jika mereka sering makan makanan bergoreng dan berlemak, besar kemungkinan tahap kolesterol mereka meningkat. Jadi gunakan kaedah memasak yang lebih sihat seperti merebus, memanggang, membakar atau mengukus. Bahan-bahan yang digunakan juga perlulah rendah lemak.

6. Kanak-kanak memang gemar makanan segera dan snek yang kurang nutrien. Memang sukar bagi ibu bapa menghalang keinginan mereka, tetapi anda boleh mengawal keinginan itu. Anda boleh bekalkan mereka dengan makanan tersebut sekali-sekala. Dengan cara itu, anak-anak tidaklah berasa begitu 'terseksa.'


7. Sekiranya di dalam peti sejuk sentiasa ada soda, minuman berkarbonat atau minuman berperisan buah-buahan, tentulah itu yang akan diteguk anak-anak. Tetapi adakah ia baik untuk mereka? Minuman seumpama itu lazimnya mempunyai kandungan gula yang tinggi. Jadi, adalah lebih baik anda bekalkan mereka dengan air yang lebih sihat seperti jus segar dan susu rendah lemak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT