29 September 2016

Wanita bertudung hiasi majalah Playboy



EDISI Oktober majalah Playboy menampilkan Tagouri.


LOS ANGELES – Majalah dewasa, Playboy buat pertama kalinya menampilkan wanita Islam bertudung dalam edisi kontroversi yang menerima kedua-dua pujian dan kecaman.

Wartawan Amerika Syarikat (AS), Noor Tagouri tampil dalam edisi khas Oktober 2016 Playboy. Edisi itu memberi tumpuan kepada lelaki dan wanita yang mengambil risiko dalam hidup untuk mencapai impian masing-masing.

Tagouri, 22, yang bekerja di akhbar Newsy tampil dalam Playboy dengan menyarung jaket hitam, seluar jean, kasut dan tudung. Dia digambarkan oleh majalah tersebut sebagai seorang aktivis yang berani dan lantang.

Berasal dari Libya, Tagouri yang bercita-cita menjadi pembaca berita bertudung pertama di televisyen AS berkata, dia membesar dalam suasana sukar sebagai seorang wanita Islam di negara itu tetapi tabah untuk berjaya dalam kerjayanya.
“Saya memahami bagaimana kisah komuniti kami diputarbelitkan dan dieksploitasi oleh pihak media,” Tagouri memberitahu Playboy.

Majalah yang sinonim dengan gambar bogel itu membuang imej telanjangnya mulai awal tahun ini bagi mendapat pembaca yang lebih meluas.

Tagouri yang mempunyai lebih 100,000 pengikut di media sosial mula mendapat perhatian selepas melancarkan kempen viral, #LetNoorShine pada 2012.

Ramai yang memuji kemunculan wanita muda itu dalam majalah Playboy, namun tidak kurang juga yang mengecam tindakan kontroversi Tagouri.

“Playboy sinonim dengan pornografi. Ia menjadi objek kepada seks dan penindasan wanita sejak sekian lama. Tidak bermakna melalui imej baharu majalah ini kita boleh melibatkan diri dan menerimanya,” kata satu artikel yang dalam majalah The Muslim Vibe. – AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT