12 November 2010

Cemerlang walau dalam kelas corot


MOHD. Hazman Ahmad (kanan) bangga melihat keputusan cemerlang anaknya, Muhammad Harith Aizad yang mendapat 5A dalam UPSR di Pasar Awam Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam.

KEPALA BATAS 11 Nov. - Walaupun diletakkan di kelas tercorot, seorang anak penjual ikan berjaya membuktikan kemampuannya apabila memperoleh 5A pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Muhammad Harith Aizad Mohd. Hazman, 12, merupakan salah seorang daripada 89 murid Sekolah Kebangsaan Bertam Indah, di sini yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.

Dia sebelum ini belajar di Tadika Permataku Sayang, di sini sebelum dimasukkan ke sekolah tersebut dan ditempatkan di kelas murid paling lemah memandangkan pencapaian pelajarannya yang kurang memuaskan.

Muhammad Harith Aizad mengakui, pernah berasa terlalu rendah diri apabila diletakkan di kelas tersebut tetapi dorongan kuat guru serta pengorbanan kedua orang tua memberi motivasi kepadanya untuk belajar bersungguh-sungguh.

''Ayah selalu kata tanpa pelajaran kita tidak akan kemana-mana, saya kena belajar bersungguh-sungguh," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan slip keputusan peperiksaan UPSR di sekolah itu hari ini.

Muhammad Harith Aizad yang berjalan kaki sejauh 1.5 kilometer setiap hari untuk ke sekolah berkata, dia tidak mempunyai rahsia atau resipi kejayaan sebaliknya hanya memberi tumpuan sepenuhnya ketika berada di kelas.

Anak kedua daripada tiga beradik itu yang bercita-cita menjadi seorang juruterbang suatu hari nanti memberitahu, dia memilih belajar di rumah mengikut jadual yang disediakan gurunya berbanding ramai rakannya yang mengikuti kelas tuisyen.

''Bagaimanapun, saya memberi tumpuan lebih kepada subjek-subjek yang agak sukar seperti Bahasa Inggeris dan Matematik dengan membuat banyak latihan sama ada di rumah atau di sekolah," katanya yang hanya memperoleh 2A dalam peperiksaan percubaan.

Sementara itu, bapanya, Mohd. Hazman Ahmad berkata, Muhammad Harith Aizad memang seorang anak yang rajin belajar dan sangat berdisiplin terutamanya dalam soal mematuhi jadual pelajarannya di rumah.

''Dia mempunyai ramai rakan-rakan untuk bermain pada masa lapang tetapi jika masa untuk belajar, dia pasti akan berada di rumah membuat latihan atau ulang kaji," katanya yang berniaga di Pasar Awam Kepala Batas, di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

DUIT