|
Bangunan masjid pasang siap itu tiba di bandar kecil di utara negara ini pada bulan lalu setelah menempuh perjalanan sejauh 4,000 kilometer melalui jalan darat dan air.
Sebahagian wartawan termasuk pemberita televisyen Arab menyertai masyarakat Islam tempatan dalam majlis pembukaan rasmi yang meriah itu.
Jumlah penduduk Islam di Wilayah Barat Laut Kanada kini telah meningkat kepada 80 orang sejak beberapa tahun lalu. Mereka menunaikan sembahyang di dalam karavan sebesar tiga kali tujuh meter sehingga ia tidak lagi dapat menampung pertambahan jemaah.
Ahli jawatankuasa masjid itu, Amer Suliman berkata, masjid baru yang digelar 'masjid kecil di tundra' oleh media Kanada itu mempunyai sebuah dewan solat utama dengan permaidani merah, sebuah perpustakaan dan ruang dapur.
Kariah bandar ini menempah masjid pasang siap itu menggunakan kapal dari Manitoba, yang mana kos tenaga kerja dan bahan binaan jauh lebih rendah daripada di utara Kanada.
Perjalanan masjid kuning yang kecil itu bermula pada akhir Ogos lalu menggunakan trak melalui jalan berliku-liku merentasi padang rumput dan hutan di barat Kanada diikuti laluan air melalui Sungai Hay di pinggir Great Slave Lake di wilayah barat laut negara itu.
Dari situ, masjid berkenaan dipindahkan pula ke atas tongkang dan dibawa mengikut aliran Sungai McKenzie untuk di bawa ke Inuvik yang terletak kira-kira 200 kilometer dari utara kawasan lingkaran kutub Artik. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan